fb fb fb fb fb

Lebih 40,000 Jalur Gemilang diedarkan di KL sempena Bulan Kebangsaan

Dr Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR, 28 Julai- Lebih 40,000 Jalur Gemilang akan diedar kepada penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sepanjang Sambutan Bulan Kebangsaan sempena kempen Kibarkan Jalur Gemilang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, perkara itu merupakan inisiatif yang dilaksana menerusi program 1 Rumah, 1 Jalur Gemilang serta meningkatkan rasa kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ia sekali gus dapat menyuntik rasa syukur, bangga dan penghargaan atas nikmat kemerdekaan yang dikecapi rakyat dan negara lebih enam dekad.

"Kita akan keluarkan sebanyak lebih 40,000 bendera untuk kita edarkan dan penduduk di sekitar Kuala Lumpur ini boleh mengambil kesempatan mengibarkan Jalur Gemilang menuju ke tarikh 31 Ogos ini untuk menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67.

"Jadi, ini adalah satu program yang sangat baik untuk meningkatkan rasa kebersamaan dan kebanggaan terhadap negara kita yang telah merdeka sejak tahun 1957. 40 ribu ni untuk Kuala Lumpur sahaja dulu," katanya kepada pemberita pada Karnival Santai Keluarga 50WP di Taman Tasik Danau Kota, di ibu negara.

Dalam program berkenaan Zaliha turut menyampaikan hadiah kepada 10 pemenang Program Pasport 50WP, yang berjaya melengkapkan cabaran 50 lokasi tempat menarik dengan pemenang utama menerima ganjaran wang tunai bernilai RM20,000.

Program berkenaan menerima 7,750 penyertaan dan ia memberi peluang kepada peserta untuk meneroka serta merakamkan gambar di lokasi serta destinasi menarik dan bersejarah di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI