PERAI, 10 Januari - Kementerian Perpaduan menganjurkan lebih 360 program berimpak tinggi, setiap tahun berdasarkan sasaran kementerian bagi memperkukuh perpaduan pada setiap lapisan masyarakat selaras usaha meningkatkan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas).
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy berkata, program dianjurkan juga bermatlamat menjadikan kepelbagaian budaya, agama dan etnik sebagai kekuatan negara.
"Bagi ASEAN ada tiga tunggak dan Kementerian Perpaduan mengambil bahagian bawah ASEAN Socio-Cultural Community di mana kami memberi untuk menganjurkan pelbagai program yang membawa kepada perpaduan serantau bukan saja Malaysia dan membentuk satu komuniti yang lebih inklusif harmoni dan lestari," kata K Saraswathy.
Beliau berkata demikian selepas Pertandingan Kuiz Moral Sekolah Tamil Peringkat Pulau Pinang di Kuil Sri Muniswarwar, Jalan Baru, di sini.
Kementerian Perpaduan mencatat kemajuan positif dalam usaha memperkukuh keharmonian negara, sebagaimana ditunjukkan melalui IPNas yang dinilai setiap dua tahun yang bermula pada tahun 2020.
Tahun kelima operasinya, kementerian mensasarkan peningkatan indeks kepada 0.7 berbanding kedudukan semasa bawah 0.52.