KUALA PILAH, 21 Februari- Seramai 368 daripada 460 penduduk orang asli telah menjalani saringan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) hingga 19 Februari lalu sebagai langkah pengesanan kes kusta di Kampung Chergun dan Kampung Guntur di sini
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, sehingga kini, sebanyak sembilan kes disahkan kusta dan kesemua pesakit telah diberi rawatan mengikut rejim garis panduan yang telah ditetapkan.
"Salah seorang daripada pesakit yang berusia 18 tahun dari Kampung Chergun telah meninggal pada 17 Februari lalu.
"Sebelum itu, pesakit telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah setelah mengalami gejala demam, sakit perut, muntah dan diberi rawatan sewajarnya oleh Pakar Perubatan Dalaman HTAN serta khidmat konsultasi daripada pihak Gastroenterologi, Hepatologi dan Dermatologi," menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun ahli keluarga pesakit telah membawa pesakit pulang ke rumah pada 16 Februari dan pesakit meninggal dunia keesokan harinya.
Dalam pada itu KKM masih meneruskan aktiviti pengesanan kes dan kontak serta langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan.
Pihak KKM juga meminta individu yang mempunyai gejala seperti penyakit kusta agar mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.
KKM memberi jaminan bahawa situasi kusta di Kuala Pilah adalah terkawal dan pesakit kusta juga tidak perlu lagi diasingkan kerana terdapat rawatan yang berkesan.