fb fb fb fb fb

Lebih 300 pelajar ASWARA terima tablet Perantisiswa

KUALA LUMPUR, 5 Oktober- Lebih 300 pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) layak menerima tablet menerusi Inisiatif Perantisiswa Keluarga Malaysia.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata pemberian peranti ini secara tidak langsung menaikkan semangat pelajar ASWARA untuk menjalani proses pembelajaran dengan lebih bersemangat.

"Menerusi pemberian ini, ia akan membantu untuk memudahkan urusan para pelajar menuntut ilmu dengan menggunakan platform internet. Kita mengharapkan mereka dapat memanfaatkan peranti ini dalam menyiapkan tugasan dan kajian secara lebih luas untuk pelajaran mereka," kata Nancy kepada pemberita RTM selepas Majlis Penyerahan Perantisiswa Keluarga Malaysia kepada pelajar ASWARA di ibu negara.


(Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri turut merasmikan Majlis Akal Budi ASWARA 2022 sempena
pelancaran 13 buah buku ilmiah dan kreatif yang dihasilkan oleh warga kerja ASWARA hari ini)

Pada awal pelaksanaan perantisiswa ini, pelajar ASWARA tidak layak untuk memohon kerana tidak berada di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Walau bagaimanapun, pihak MOTAC telah berusaha dan mengangkat permohonan agar dapat memperluaskan pelaksanaan inisiatif perantisiswa ini kepada pelajar ASWARA bagi memastikan mereka yang layak mendapat manfaat.

Akhirnya, permohonan tersebut telah diluluskan melalui jemaah menteri pada 13 April 2022.

Turut diadakan dalam majlis yang sama ialah majlis pelancaran 13 buah buku ilmiah dan kreatif yang dihasilkan oleh pensyarah dan kakitangan ASWARA.

Media Baharu