KOTA BHARU, 5 Ogos-Sebanyak 29,098 premis di seluruh Semenanjung Malaysia sudah mendaftar dengan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) untuk memperoleh lesen bagi mengedar bermula 1 Januari tahun lalu sehingga 15 Julai lepas.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, LKTN kini menyasarkan sebanyak 17,488 baki premis akan didaftarkan tahun ini dengan kadar fi sebanyak RM150 setahun.
"LKTN juga berperanan untuk penguatkuasaan peraturan-peraturan LKTN perlesenan tembakau dan keluaran tembakau 2011 dan sekarang sudah masuk fasa ketiga yang sudah berkuatkuasa sejak 1 Januari tahun ni kita nak memberi fokus utama kepada aktiviti perlesenan iaitu sasaran untuk melesenkan sebanyak 17,488 baki premis yang belum memohon lesen mengedar tembakau atau keluaran tembakau dengan kadar fi cukup murah", katanya demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di Pejabat LKTN di sini.
Mengulas lanjut katanya, sejak Mei lalu, penguatkuasaan Peraturan-Peraturan LKTN (Pelesenan Tembakau dan Keluaran Tembakau) 2011 itu dilaksanakan dengan menggunakan pendekatan penguatkuasaan pendidikan (Smart Enforcement) kepada baki premis belum dilesenkan.
Pihak LKTN akan memberi nasihat, teguran dan kempen kesedaran bagi mendapatkan lesen secara berterusan kepada pihak yang terlibat.
Dalam perkembangan lain, LKTN telah membangunkan kilang pemprosesan dan pengeluaran produk kenaf di Setiu, Terengganu yang mengfokuskan penghasilan fiber yang menjadi bahan mentah utama kepada penghasilan produk-produk bernilai tambah tinggi berasaskan kenaf terutamanya tilam.
Kilang tersebut mampu mengeluarkan sebanyak 2,400 metrik tan produk Non-Woven Thermobonding kenaf setahun dengan nilai RM16 hingga RM18 juta untuk pasaran eksport dan domestik.