LABUAN, 11 Oktober – Hari Sukan Negara (HSN) 2025 peringkat Labuan disertai lebih 23,000 peserta dengan 42 acara dan aktiviti sukan diadakan sepanjang tiga hari berlangsung.
- HSN 2025 Labuan guna konsep Malaysia MADANI, sukan baharu dan sukan rakyat untuk penyatuan kesejahteraan dan hormat-menghormati.
- Acara melibatkan agensi kerajaan, swasta, sekolah, NGO sukan dan NGO belia, menyasarkan semua peringkat umur, jantina dan kaum.
- Program bertema "Malaysia Aktif" termasuk Fun Walk, Kayuhan MADANI, Larian Ria, Kids Aerobic dan pelbagai sukan pantai serta aktiviti berkaitan.
Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Mohd Husni Mohammad Salleh berkata, pendekatan pelaksanaan HSN mengetengahkan konsep Malaysia MADANI, sukan baharu dan sukan rakyat.
“Pendekatan itu bertujuan untuk penyatuan kesejahteraan serta mengangkat prinsip saling hormat-menghormati, menyasarkan penyertaan kepada semua golongan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran sambutan HSN 2025 telah berlangsung awal pagi tadi di perkarangan Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, di sini.
Majlis itu turut dihadiri ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Mohd Sukuran Taib dan Pengarah JBS Labuan Mahanum Fauzi.
Kesemua acara dan aktiviti itu dilaksanakan agensi kerajaan, swasta, sekolah, badan bukan kerajaan (NGO) sukan dan juga NGO belia.
Program dan aktiviti yang dilaksanakan merangkumi penyertaan semua peringkat umur, jantina dan kaum membawa tema ‘Malaysia Aktif’ yang menekankan semangat kesatuan, kecergasan dan penglibatan aktif rakyat dalam aktiviti sukan.
Antara sukan utama ialah Fun Walk 3 kilometer (km) Belia Kitani, Kayuhan MADANI 30 km, Larian Ria MADANI 5 km, Kids Aerobic Challenge dan Labuan Car Free Day siri ketiga.
Acara lain seperti kayak sprint, petanque, hoki pantai, pertandingan tarik tali dan bola tampar pantai.