Lebih 200,000 kenderaan sehari bermula 20 Mac guna WCE

Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE)

KUALA LUMPUR, 17 Mac – West Coast Expressway Holdings Berhad (WCEHB) menjangkakan lonjakan trafik ketara di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) bermula 20 hingga 29 Mac ini, dengan purata harian melebihi 200,000 kenderaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan waktu puncak sempena hujung minggu panjang dan musim perayaan.
  • Manfaatkan aplikasi rasmi WCE untuk mendapatkan maklumat trafik masa nyata sepanjang perjalanan.
  • Pastikan kenderaan dalam keadaan baik, patuhi peraturan jalan raya dan berehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan.
  • Berhenti di R&R Sungai Nyior atau Kapar jika letih; gunakan lorong kecemasan hanya untuk kecemasan; hubungi talian 24 jam.

Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Libat Urus WCE, Syed Mohammed Idid dalam kenyataan memaklumkan, peningkatan itu didorong permintaan perjalanan tinggi sempena hujung minggu panjang dan musim perayaan, berbanding aliran semasa sekitar 160,000 hingga 170,000 kenderaan sehari.

“Unjuran tersebut tidak termasuk trafik di Seksyen 3, 4 dan 7 di Selangor yang dijadualkan dibuka tahun ini. WCEHB menegaskan komitmen untuk memastikan perjalanan yang selamat dan lancar kepada semua pengguna lebuh raya sepanjang tempoh berkenaan.

“Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan waktu puncak, khususnya pada sebelah petang hingga malam, selain memanfaatkan aplikasi rasmi WCE untuk mendapatkan maklumat trafik masa nyata,” menurut kenyataan itu.

Pengguna juga diingatkan supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, mematuhi peraturan jalan raya serta berehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan.

Selain itu, pemandu disaran berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) seperti di Sungai Nyior, Perak dan Kapar, Selangor sekiranya keletihan, serta menggunakan lorong kecemasan hanya ketika kecemasan.

Untuk bantuan, pengguna boleh menghubungi talian bebas tol WCE yang beroperasi 24 jam. Langkah persediaan awal pengguna amat penting bagi memastikan perjalanan lebih selamat dan selesa sepanjang tempoh peningkatan trafik di lebuh raya itu.