fb fb fb fb fb

Lebih 200 program berunsur patriotisme akan dilaksana di Kelantan

Pengarah Jabatan Penerangan (Japen) Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md Nor

PASIR PUTEH, 31 Julai - Jabatan Penerangan (Japen) Kelantan akan melaksanakan lebih 200 program berunsurkan patriotisme di negeri itu bagi menyemarakkan lagi Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Pengarahnya Muhd Nor Aswadi Md Nor berkata, program-program tersebut akan dilaksanakan di semua peringkat institusi dan komuniti bagi memastikan program tersebut memberi impak secara holistik dan tersebar luas ke seluruh negeri itu.
 
"Sepanjang bulan kebangsaan ini pertamanya, kita adakan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024. Kedua program di setiap komuniti MADANI kita ada 135 kita panggil jiwa komuniti MADANI@merdeka di komuniti MADANI masing-masing bagi menunjukkan rasa kasih sayang kepada negara kita.

"Dan menjayakan kempen kibar Jalur Gemilang begitu juga di peringkat sekolah kita gerakkan 81 kelab Malaysiaku di sekolah untuk sama-sama kita hayati kempen kibar Jalur Gemilang ini," kata Aswadi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 dan Penyerahan Jalur Gemilang kepada Konvoi KMJG Kelantan daripada Konvoi Terengganu di Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kelantan.
 
Katanya, sebanyak 67 kenderaan pelbagai jenis terlibat secara langsung dalam konvoi KMJG di Kelantan termasuk jabatan kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
 
Konvoi KMJG 2024 di Kelantan merupakan negeri ketujuh dan berlangsung selama dua hari hingga esok melibatkan lima jajahan iaitu Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu, Machang dan berakhir di Kuala Krai sebelum Jalur Gemilang diserahkan pula kepada konvoi di Kedah.
 
Mengulas lanjut, Muhd Nor Aswadi turut menyeru kepada semua penduduk di negeri itu supaya menzahirkan rasa cinta terhadap negara melalui kibaran Jalur Gemilang di tempat yang bersesuaian.

TETITIA YUSOFF