IPOH, 11 November- Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 yang diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru menerima lebih 200,000 pengunjung, memasuki hari kedua pelaksanaannya.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata setelah empat tahun tidak diadakan, beliau menjangkakan kehadiran melebihi sasaran awal iaitu 350,000 orang bagi tiga hari sambutan HPPNK 2023.
"Alhamdulillah, sambutan cukup baik setakat ini. Sudah lebih 200,000 orang yang hadir, setakat petang ini. Sasaran kita adalah kehadiran pengunjung lebih 350,000 orang dan masih berbaki satu hari lagi sambutan HPPNK 2023.
Saya yakin, kehadiran pelawat akan melebihi sasaran yang kita jangkakan," kata Mohamad kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Perasmian HPPNK 2023 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mewakili Perdana Menteri, di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru, di sini.
Beliaut selepas itu turut melancarkan Program Pembangunan Agropreneur Muda Siswazah sempena HPPNK 2023 itu.