IPOH, 5 Disember - Lebih 2,000 unit kediaman yang tidak terjual di Perak merupakan majoriti rumah berharga RM200,000 ke atas.
Exco Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata sebanyak 2,312 unit rumah tidak terjual tahun lalu.
Beliau berkata, kediaman jenis pangsapuri dan kondominium merekodkan unit tidak terjual tertinggi di negeri berkenaan.
Jumlah itu katanya berdasarkan data yang dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).
"Berdasarkan data NAPIC ini, ia menunjukkan bahawa rakyat negeri Perak lebih cenderung untuk membeli rumah di dalam kategori kos rendah iaitu harga di bawah RM100,000 dimana data NAPIC menunjukkan bahawa tiada hartanah perumahan tidak terjual di dalam kategori harga tersebut di dalam negeri Perak," katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini.
Tambah Ng, bagi mengatasi masalah tersebut, Dasar Perumahan Perak (DPP) dilaksana bagi pembangunan yang melibatkan keluasan tanah melebihi 20 ekar.
Katanya, pemaju diwajibkan membina 40 peratus pembangunan rumah mampu milik yang merangkumi pembinaan Rumah Perakku satu, dua dan tiga.