KUALA LUMPUR, 16 November- Setakat 5 November 2023, seramai 197,893 suri rumah telah mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Daripada penyertaan tersebut, sejumlah 322 kes tuntutan direkodkan melibatkan nilai lebih RM849,000.
Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mustapha Sakmud, bagi menggalakkan lebih ramai suri rumah mencarum menerusi SKSSR, kerjasama strategik antara majikan dan wakil rakyat telah dilaksana bagi menggalakkan mereka menaja pencarum.
"Bagi meningkatkan bilangan suri rumah berdaftar dan mencarum dibawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah, kerjasama strategik dengan majikan dan wakil rakyat telah diadakan bertujuan untuk menggalakkan mereka menaja suri rumah yang layak berdaftar dan mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah.
"Berdasarkan statistik, setakat 5 November 2023, sebanyak enam majikan dan sembilan wakil rakyat dan individu telah menaja 1,128 orang suri rumah dengan jumlah penajaan sebanyak RM135,360.00", katanya dalam sesi Dewan Rakyat.
Penyataan tersebut bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim.
Bagi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri pula, setakat 10 November, lebih 793,000 Orang Bekerja Sendiri, aktif mencarum dengan jumlah kes tuntutan yang diluluskan sebanyak 4,334 melibatkan jumlah faedah sebanyak RM24.69 juta.