IPOH, 22 Februari-Lebih 19,000 Ketua Isi Rumah (KIR) telah menerima manfaat daripada program Kad Perak Sejahtera, setakat Februari tahun ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkafa, kad bernilai RM100 sebulan itu bertujuan membantu golongan B40 dan miskin tegar dalam pembelian keperluan asas harian.
Jelas beliau, kad berkenaan boleh digunakan penerima di 291 kedai dan pasar raya panel berdaftar dengan nilai keseluruhan RM1,200 setahun.
"Sebanyak 1,002 permohonan baru diterima dan 915 permohonan telah diluluskan dengan jumlah tertinggi diterima di daerah Kinta membabitkan sebanyak 430 permohonan.
"Kerajaan Negeri Perak sangat komited untuk memastikan proram ini terus memberi manfaat kepada rakyat yang benar-benar memerlukan dan akan diteruskan sebagai sebahagian agenda kesejahteraan rakyat", katanya demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Kad Perak Sejahtera di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
Tambahnya, kerajaan negeri memperuntukkan RM30.22 juta bagi program kesejahteraan rakyat pada tahun ini.
Ia termasuk RM24 juta untuk Kad Perak Sejahtera, bantuan Kotak Makanan RM5 juta Kedai Bergerak Negeri Perak RM820,000 dan Jualan Rahmah RM400,000.