fb fb fb fb fb

Lebih 17,000 graduan TVET dapat pekerjaan melalui MyFutureJobs

Lebih 17,000 graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berjaya mendapatkan pekerjaan melalui portal MyFutureJobs / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 28 April – Lebih 17,000 graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berjaya mendapatkan pekerjaan melalui portal MyFutureJobs dari Januari hingga 4 April tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata pencapaian itu mencerminkan keberhasilan komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan laluan kerjaya TVET bagi belia negara.

“Sepanjang tahun lalu, hampir 100,000 penempatan pekerjaan dalam bidang TVET telah direkodkan melalui portal MyFutureJobs,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Kerjaya Mega MYFutureJobs @Hari Pekerja 2025 di Pekarangan Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini.

Tambah Sim, di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), portal MyFutureJobs memainkan peranan penting dalam memastikan pekerja yang sesuai dengan graduan kemahiran, seperti graduan TVET, dapat disalurkan ke sektor yang memerlukan mereka.

"Contohnya, 17,300 graduan TVET berjaya mendapatkan pekerjaan hanya dalam tempoh Januari hingga April tahun ini," katanya.

Beliau turut memaklumkan KESUMA memperuntukkan lebih kurang RM3 bilion untuk mengembangkan sektor latihan kemahiran di Malaysia.

"Di KESUMA, kita akan berusaha keras untuk memastikan pekerja Malaysia siap sedia untuk menghadapi peluang pekerjaan yang ada. Apabila kita mempunyai pekerjaan yang sedia ada, pekerja Malaysia juga mesti bersedia," tambah beliau.

Ekspo yang berlangsung selama empat hari sehingga 1 Mei itu melibatkan penyertaan 40 majikan dan menawarkan sebanyak 10,000 kekosongan jawatan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN