
KUALA NERUS, 11 Januari – Seramai lebih 16,000 murid Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) dan Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di seluruh Terengganu memulakan sesi persekolahan hari pertama, hari ini.
- Lebih 16,000 murid TABIKA dan TASKA KEMAS di Terengganu memulakan sesi persekolahan hari pertama.
- Sesi melibatkan 813 guru, 193 pembantu guru dan 652 pembantu pengurusan murid negeri.
- Dua fasa pemantauan dilaksanakan: pemantauan akhir tahun dan pemantauan awal sesi selama dua minggu.
- KEMAS menawarkan Modul Pra Tahfiz dan Program Tunas Istimewa untuk pendidikan inklusif dengan bayaran minimum.
Pengarah KEMAS Terengganu, Dr Faridah Mat, berkata sesi persekolahan kali ini melibatkan 839 premis, 813 orang guru, 193 pembantu guru serta 652 pembantu pengurusan murid di seluruh negeri.
Menurut beliau, dua fasa pemantauan dilaksanakan bagi memastikan kelancaran perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak, merangkumi pemantauan akhir tahun dan pemantauan awal sesi persekolahan.
“Pemantauan akhir tahun bertujuan menilai tahap kesiapsiagaan dan kesediaan guru dari segi fizikal dan mental, selain memastikan premis berada dalam keadaan baik sebelum menerima kehadiran murid.
“Selepas itu, pemantauan awal sesi persekolahan akan dilaksanakan selama dua minggu bermula 9 Januari bagi menilai semua elemen penting sepanjang tempoh tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa memantau hari pertama sesi persekolahan di TABIKA Qhulafa Al-Rashidin, di sini.
Dr Faridah berkata, selain pendidikan arus perdana, KEMAS Terengganu turut memperluaskan pelaksanaan Modul Pra Tahfiz serta Program Tunas Istimewa bagi kanak-kanak berkeperluan khas, termasuk autisme.
Menurutnya, program berkenaan ditawarkan dengan bayaran minimum bagi meringankan beban kewangan ibu bapa, sekali gus memastikan akses pendidikan awal yang inklusif kepada semua lapisan masyarakat.
TABIKA Qhulafa Al-Rashidin menempatkan empat kelas, merangkumi dua kelas Tabika biasa, satu kelas pendidikan khas termasuk autisme, serta satu kelas TASKA bagi kanak-kanak berumur dua hingga empat tahun.