fb fb fb fb fb

Lebih 140,000 kenderaan dijangka guna WCE sehari sempena Aidilfitri

Aliran trafik di WCE dari Changkat Jering menghala ke utara sesak susulan cuti sekolah tahun lalu/ BERNAMA

KUALA SELANGOR, 24 Mac- Lebih 140,000 kenderaan dijangka menggunakan Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) sehari semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Libat Urus WCE, Syed Mohammed Idid, berkata peningkatan ini didorong oleh penyiapan beberapa bahagian lebuh raya yang telah meningkatkan kesalinghubungan secara ketara.

Beliau berkata, laluan dari Taiping Selatan ke Banting dijangka menjadi yang paling sibuk.

"Anggaran ini konsisten dengan corak perayaan sebelumnya seperti Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas yang secara lazimnya mencatatkan purata trafik harian (ADT) antara 130,000 hingga 150,000 kenderaan.

"Pada peringkat awal, selepas penyiapan Seksyen, 5, 8, 9 dan 10 pada tahun 2019, ADT adalah sekitar 60,000 kenderaan. Selepas pembukaan persimpangan Assam Jawa (Seksyen 6), pada 20 November 2023, ADT meningkat kepada 70,000 kenderaan.

"Momentum ini diteruskan dengan pembukaan Seksyen Taiping Selatan (Seksyen 11) pada malam Ramadan, 12 Mac 2024 yang melengkapkan keseluruhan jajaran negeri Perak dan seterusnya meningkatkan ADT melebihi 80,000.

"Tambahan pula, dengan pembukaan Seksyen Selangor 1 Banting dan Seksyen 2 Kesas baru-baru ini, ADT telah mencapai sekitar 90,000", katanya menerusi kenyataan.

WCE juga akan meningkatkan pemantauan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan perjalanan yang selamat dan lancar.

Sementara itu, Seksyen Tanjung Karang dijangka siap pada 2026, bagi membantu mengurangkan kesesakan dan merangsang ekonomi tempatan.

ROSLINA BINTI DIN