
LABUAN, 18 Januari– Lebih 10,000 akaun pengguna di Labuan mula menikmati bekalan air bersih hari ini, setelah lebih 10 hari tanpa bekalan air.
- Pembaikan paip utama di Bukit Besar selesai, membolehkan bekalan air dipulihkan secara berperingkat kepada pengguna.
- Proses pengisian tangki dan pemulihan tekanan memakan masa kira-kira lapan jam untuk mencapai operasi stabil.
- Agensi lain membantu menghantar air bersih ke tangki statik dan pengguna terjejas di beberapa kawasan.
Ini berikutan gangguan bekalan air berpunca daripada pergerakan tanah yang menyebabkan paip utama pecah di kawasan Bukit Besar, Labuan.
Menurut Notis rasmi Jabatan Bekalan Air (JBA) Labuan, kerja-kerja pembaikan pada paip cawangan tangki Bukit Besar Satu dan Tangki Bukit Besar dua yang pecah, telah selesai sepenuhnya awal pagi tadi.
“JBA kini dalam proses pengisian tangki perkhidmatan. Proses itu bagi memastikan tekanan air mencukupi, mengambil masa lebih kurang lapan jam sehingga mencapai paras operasi yang stabil,” kata kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu, bekalan air bersih telah disalurkan secara berperingkat kepada semua pengguna hari ini.
Antara kawasan terjejas termasuk District Metered Area (DMA) Layangan, IPS Pohon Batu, Pohon Batu, Kiansam, Sungai Labu, Bukit Kalam, Pancur Hitam Manikar dan Tanjung Aru.
JBA Labuan dibantu agensi lain juga masih menghantar bekalan air bersih ke tangki-tangki statik dan kepada pengguna yang terkesan.