Lebih 10,000 meriahkan Walkathon D’Raja

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bersama-sama peserta memeriahkan Walkathon D’Raja: Walk With Me 2026 /BERNAMA

KOTA BHARU, 15 Februari –Sultan Muhammad V dan Sultanah Nur Diana berkenan mencemar duli menyertai lebih 10,000 peserta dalam program Walkathon D’Raja: Walk With Me 2026 yang berlangsung di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi (Sabtu).

RINGKASAN BERITA AI
  • Sultan Muhammad V dan Sultanah Nur Diana mencemar duli menyertai walkathon bersama peserta.
  • Lebih 10,000 peserta memeriahkan acara bertempat di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV.
  • Peserta berjalan sejauh 3.2 kilometer mengikut laluan yang ditetapkan sekitar bandar.
  • Persembahan 350 dron mempamerkan elemen tradisi Kelantan sebagai promosi pelancongan.

Keberangkatan tiba baginda berdua pada pukul 11.18 malam disambut penuh hormat, sekali gus menyempurnakan majlis perasmian acara berkenaan.

Turut hadir memeriahkan program ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Selepas gimik perasmian, Sultan Muhammad V dan Sultanah Nur Diana berkenan berangkat berjalan sejauh 3.2 kilometer bersama para peserta.

Laluan walkathon bermula dari stadium menuju ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, kemudian ke Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan sebelum kembali semula ke stadium sebagai penamat acara.

Terdahulu, para peserta dan pengunjung turut disajikan dengan persembahan 350 dron dalam 10 formasi yang memaparkan elemen tradisi serta kebudayaan negeri seperti gasing, rebana ubi dan wayang kulit.

Persembahan itu dilihat sebagai inisiatif kreatif mempromosikan Kelantan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.