
PUTRAJAYA, 4 Mac – Lebih 1,000 ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) menghadiri Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran persatuan itu di sini, hari ini.
- Program Tadarus dan Khatam Al-Quran PUSPANITA sempena Semarak Ramadan 1447H memperkukuh ukhuwah dan penghayatan al-Quran.
- Penaung PUSPANITA, Datuk Seri Dr Wan Azizah, menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada lima rumah kebajikan.
- Seramai 50 pelajar tahfiz menerima sumbangan, dan nasihat diberikan untuk elak pembaziran serta jaga tutur kata sepanjang Ramadan.
Bertemakan Semarak Ramadan 1447H: Inspirasi Generasi Madani, program tersebut merupakan antara pengisian kerohanian bagi menyemarakkan sambutan Ramadan dalam kalangan ahli PUSPANITA, selain memperkukuh ukhuwah dan menggalakkan penyertaan berterusan dalam program penghayatan al-Quran.
Penaung PUSPANITA, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan.
“Saya yakin pada masa akan datang akan ada lebih banyak inisiatif dan program bermanfaat yang akan digerakkan oleh PUSPANITA dengan kerjasama semua,” katanya ketika berucap sebelum menyempurnakan majlis perasmian penutup program itu.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada setiap lima rumah kebajikan iaitu Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah, Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Al-Kausar Bangi, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Putrajaya Presint 14, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Sinar@9 Putrajaya dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Sindrom Down Presint 11.
Selain itu, seramai 50 pelajar tahfiz dari Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz MAIWP turut menerima sumbangan kebajikan.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah turut menitipkan nasihat agar orang ramai tidak makan secara berlebihan, mengelakkan pembaziran serta menjaga tutur kata termasuk di media sosial sepanjang Ramadan.