fb fb fb fb fb

Lebih 100 warga asing ditahan dalam operasi di ibu negara

Jafri Embok Taha

KUALA LUMPUR, 1 Januari- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan lebih 100 warga asing daripada 370 individu yang diperiksa atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah di Little India, Brickfields di ibu negara.

Operasi itu dilakukan susulan aduan daripada orang ramai berhubung kebanjiran warga asing yang melibatkan beberapa aktiviti sosial berlaku di kawasan itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Jafri Embok Taha berkata, 370 individu itu terdiri daripada warga India, Bangladesh, Filipina, Pakistan, Sri Lanka, Indonesia, Myanmar dan Nepal yang berusia dalam lingkungan 25 tahun hingga 71 tahun.

Daripada jumlah itu, 335 daripadanya merupakan lelaki dan 35 lagi merupakan wanita.

Operasi itu dilakukan ke atas 30 premis membabitkan kediaman, kedai pakaian, restoran, kedai gunting rambut, kedai barang kecantikan dan kedai serbaneka di sekitar Jalan Thamby Abdullah.

Ia turut disertai oleh 224 anggota daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM)

"Operasi ini akan dilakukan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.

"Kesemuanya akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya kepada pemberita di sini.

Bagaimanapun JIM turut menginggatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI atau mereka terpaksa berdepan dengan tindakan undang-undang.

Dalam pada itu ketika mengulas berkenaan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0, Jafri berkata pendaftarannya berakhir semalam.

"Selepas ini merupakan proses verifikasi. Kita memberi tempoh sehingga 31 Mac 2024, selepas tarikh itu kita akan melakukan operasi secara besar-besaran.

"Sekiranya belum melalui proses pengesahan berkenaan terutama mereka yang memegang kad RTK, tindakan sewajarnya akan dikenakan," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI