fb fb fb fb fb

Lebih 10 tahun tiada rangkaian telefon dan internet

Mek Som bersama Che Hussain tidak dapat menikmati menggunakan kemudahan internet dan juga rangkaian telefon meskipun memiliki telefon bimbit/FOTO RTM Kelantan

GUA MUSANG, 22 Disember - Lebih 50 penduduk Kampung Sungai Bayu Dalam di kawasan ini mendakwa tidak menikmati perkhidmatan rangkaian telefon dan internet untuk berhubung sejak 10 tahun lalu.

Ketiadaan rangkaian telefon dan capaian internet di kampung yang terletak di kawasan ladang getah dan kelapa sawit itu menyukarkan kehidupan penduduk sekiranya ada kejadian kecemasan atau bencana alam.

Bagi Che Hussain @ Che Ahmad Che Kob, 75, keadaan itu memaksa keluar melalui jalan ladang berbatu sejauh kira-kira tiga kilometer untuk mendapatkan rangkaian telefon dan capaian internet.

"Saya duduk di sini macam 'orang buangan' apabila sukar mengetahui perkembangan semasa di kawasan luar kerana tidak mempunyai kemudahan talian telefon dan internet.

"Kami perlu keluar dan berada di pinggir jalan Gua Musang-Kuala Krai semata-mata untuk mendapatkan rangkaian telefon atau liputan internet.

"Kami harap pihak berkenaan dapat mengambil perhatian supaya rakyat pedalaman dapat menikmati kemudahan telekomunikasi seperti penduduk di kawasan bandar," katanya.

Sementara itu, penduduk warga emas, Mek Som Awang, 73, berkata dia dan suaminya sering berdepan situasi sukar apatah lagi melibatkan temu janji di hospital.

"Saya dan suami ada penyakit, jadi setiap tiga bulan sekali nak kena jumpa doktor pakar. Sebulan sekali nak ambil ubat jantung dan darah tinggi, kalau nak berhubung hal kecemasan memang tak dapat.

"Tambah pula ada kejadian serangan gajah liar yang berlaku, kita lagi rasa takut. Nak keluar tak boleh," kongsinya kepada RTM.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim berkata, pihaknya akan membawa masalah telekomunikasi yang dihadapi penduduk Kampung Sungai Bayu Dalam kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

"Sebelum ini saya pernah memaklumkan kepada MCMC masalah rangkaian yang belaku di Kampung Limau Kasturi. Alhamdulillah MCMC pantas bertindak menyelesaikan masalah penduduk kampung terbabit.

"Saya akan memohon kepada MCMC supaya mereka meneliti semula kawasan yang tiada liputan untuk tindakan segera," katanya.

Sementara itu, Jurucakap MCMC Kelantan pula berkata, pihaknya telah mengambil maklum tentang permasalahan tersebut dan siasatan lanjut akan dijalankan.

 

 

GRACE AISYAH KEDAYAN