fb fb fb fb fb

Lebih 1.4 juta penjawat awam dijangka tandatangan SSPA

Wan Ahmad Dahlan (tengah) bergambar dengan sebahagian penjawat awam hari ini / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 21 Oktober- Lebih 1.4 juta penjawat awam dijangka menandatangani Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bermula hari ini dan akan berakhir pada 30 November depan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata ia bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

"Kita menjangkakan akan ada ramai penjawat yang akan menandatangani opsyen ini kerana kebanyakan yang menyertai libat urus sebelum ini teruja untuk memilih opsyen baharu ini," katanya kepada pemberita di sini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan penjawat awam untuk memperbaiki sistem penyampaian kepada masyarakat melalui penambahbaikan sistem saraan tersebut.

Menerusi SSPA, beliau yakin sistem penyampaian negara akan menyaksikan beberapa lonjakan baharu dalam perkhidmatan awam.

Sementara itu, Wan Ahmad Dahlan berkata sumbangan Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak dalam Belanjawan 2025, adalah bukti kerajaan mengutamakan penjawat awam.

Katanya, kerajaan komited untuk membela golongan tersebut meskipun pelarasan gaji telah dilaksanakan.

"Bantuan khas ini bertujuan untuk persekolahan dan juga persiapan pada hari raya. Jadi kita dapat melihat bahawa keprihatinan kerajaan terhadap penjawat awam adalah sangat tinggi, dan saya berharap penjawat awam membalas dengan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat," katanya.

BERITA BERKAITAN: 

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM