LEAD ’26: KD Lekir sertai operasi maritim antarabangsa libat 20 negara

Foto BERNAMA

LUMUT, 27 Februari – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melaksanakan Majlis Pelepasan Tali KD Lekir bagi memulakan penugasan Lekir Australia Deployment 2026 (LEAD ’26) selama lebih dua bulan melibatkan 150 pegawai dan anggota sebagai usaha memperkukuh kerjasama maritim antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • KD Lekir melibatkan 150 pegawai dan anggota dalam penugasan LEAD ’26 selama lebih dua bulan.
  • Penglibatan termasuk International Fleet Review di Sydney yang menghimpunkan 35 kapal daripada 20 negara.
  • Penyertaan dalam Eksesais KAKADU 26 dan MASTEX 26 menumpukan interoperabiliti serta perkongsian kepakaran.
  • Pelayaran mengelilingi Australia dan lawatan pelabuhan Jakarta menguji ketahanan serta memperkukuh diplomasi pertahanan.

Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat menerusi kenyataan berkata, penugasan itu merangkumi penyertaan dalam eksesais tentera laut multilateral, aktiviti diplomasi pertahanan serta pelayaran jarak jauh membabitkan negara rakan strategik.

Penugasan diketuai Pegawai Memerintah KD Lekir, Komander Megat Mohamad Sofwan Firdaus Megat Mohamad Yunus.

Penglibatan pertama KD Lekir adalah menerusi International Fleet Review (IFR) bersempena ulang tahun ke-125 Tentera Laut Diraja Australia di Sydney pada 21 Mac.

Acara berkenaan menghimpunkan 35 kapal daripada 20 negara dan menjadi platform memperkukuh diplomasi pertahanan serta hubungan maritim antarabangsa.

Seterusnya, pada 22 hingga 30 Mac, KD Lekir akan menyertai Eksesais KAKADU 26 yang melibatkan 21 kapal dan sebuah kapal selam daripada 14 negara.

Latihan itu memberi penekanan kepada interoperabiliti, perkongsian kepakaran dan pengukuhan keselamatan maritim serantau.

KD Lekir kemudian meneruskan pelayaran mengelilingi benua Australia bagi menguji ketahanan fizikal dan mental anggota selain memberi pengalaman operasi dalam pelbagai persekitaran maritim termasuk di kawasan Great Barrier Reef dan Great Australian Bight.

KD Lekir turut menyertai Malaysia-Australia Exercise (MASTEX) 26 di Perth pada 14 hingga 20 April sebelum mengakhiri penugasan LEAD ’26 dengan lawatan pelabuhan ke Jakarta, Indonesia pada 26 hingga 29 April.

Penugasan ini dilihat memperkukuh hubungan dua hala serta menzahirkan komitmen Malaysia dalam kerjasama keselamatan maritim antarabangsa.