GEORGE TOWN, 6 Ogos- Lawatan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul ke Dewan Undangan Negeri (DUN) disasar untuk membantu memperkukuh institusi 'speaker'.
Menurut Tan Sri Johari, ia antara lain sebagai persiapan untuk Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Se-Malaysia 2024.
Acara tersebut bakal berlangsung pada 11 hingga 14 September di Kuching, Sarawak.
"Jadi, saya ambil kesempatan sebelum kita ke Sarawak lebih baik kita berkenalan dahulu turun ke bawah. Bila kita jumpa di Sarawak esok, saya boleh bayangkan perkara yang dibincangkan, kerana kita pernah berada di situ."
"Maka, ia akan lebih membantu jika ada perbincangan berbentuk resolusi yang akan kita ketengahkan kepada pemerintah. Insya-Allah, ini boleh kita lakukan dengan lebih teratur dan lebih baik. Menurut saya, ia adalah sesuatu yang akan memberi manfaat," kata Johari Abdul kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas hadir pada sesi temu bual radio MutiaraFM menerusi slot Bicara Prisma, di sini.
Sementara itu, Tan Sri Johari Abdul turut berkongsi pengalaman mengenai pertemuannya dengan pemimpin Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh pada pelantikan Presiden Iran bulan lalu.
Beliau menyifatkan keberanian dan sifat tidak putus asa Ketua Biro Politik Hamas itu adalah antara kualiti yang perlu dicontohi pemimpin negara.
Ismail Haniyeh terbunuh selepas Israel menyerang kediamannya di Tehran, awal pagi Rabu lalu.