fb fb fb fb fb

Lawatan sulung PM Singapura ke Malaysia, kukuh hubungan dua hala

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong

KUALA LUMPUR, 11 Jun - Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong mengadakan Lawatan Kerja ke Malaysia selama dua hari bermula hari ini.

Kementerian Luar menerusi kenyataan berkata, ini merupakan lawatan sulung beliau ke Malaysia selaku Perdana Menteri Singapura.

Dalam rangka lawatan sehingga esok, Wong dijadualkan untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kedua-dua pemimpin akan membincangkan usaha-usaha memperkukuh hubungan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Singapura.

“Ini termasuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

“Kedua-dua pemimpin akan turut mengadakan satu sesi sidang akhbar bersama,” katanya hari ini.

Selain itu, Wong juga akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Lawatan kerja ini juga sebagai persediaan untuk Sesi Permukiman Tahunan Pemimpin-Pemimpin yang akan dianjurkan Malaysia pada akhir tahun ini.

“Pada 2023, Malaysia dan Singapura masing-masing merupakan rakan dagang kedua terbesar di peringkat global serta terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM363.13 bilion (US$ 79.60 bilion)," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN