CANBERRA, 8 Mac- Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Australia bukan sahaja berjaya memastikan hubungan dua hala yang berterusan bagi kedua-dua negara, malah memperlihatkan kepentingan untuk melihat antara satu sama lain sebagai rakan dalam dunia yang saling berhubung dan bersepadu pada hari ini.
Perdana Menteri Malaysia ke-10 itu berlepas ke Canberra dari Melbourne pada 7 Mac sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi berturut-turut beliau ke Australia, atas jemputan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese.
Anwar yang juga Menteri Kewangan Malaysia tiba di Canberra, diiringi isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Sebelum ke ibu kota Australia ini, Anwar mengadakan lawatan rasmi empat hari ke Melbourne bagi menyertai Mesyuarat Tahunan antara Pemimpin Malaysia-Australia (ALM) kedua yang dihoskan oleh Australia dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia.
Sidang kemuncak itu yang diadakan pada 4 hingga 6 Mac 2024 turut memperingati Ulang Tahun ke-50 Hubungan Dialog ASEAN-Australia.
Menyempurnakan dua misi sekali harung
Lawatan rasmi berturut-turut ini, iaitu lawatan pertama Anwar ke Australia sejak meneraju Putrajaya itu boleh disifatkan sebagai “menyempurnakan dua misi sekali harung,” iaitu mencapai objektif mengukuhkan hubungan dua hala dan juga menangani cabaran bersama yang merumuskan intipati kejayaan lawatan Anwar.
Malah, usaha diplomatik Anwar itu memperlihatkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dengan rakan di peringkat global seperti yang dibuktikan menerusi lawatannya ke Canberra dan Melbourne.
Menerusi penyertaan aktif dalam forum seperti ALM Malaysia-Australia kedua di Melbourne, Anwar bukan sahaja memperteguh hubungan, malah turut menekankan pendirian proaktif dan kerjasama Malaysia dalam arena antarabangsa.
Syarahan umum di Australian National University (ANU)
Sementara itu, syarahan umum Perdana Menteri di Australian National University (ANU) menandakan aspek penting keterlibatan diplomatik dan usaha beliau untuk mengukuhkan hubungan Malaysia dengan Australia dalam bidang pendidikan dan intelektual.
Menyampaikan syarahan di ANU memberi platform kepada Anwar untuk mengetengahkan perspektif, dasar dan aspirasi Malaysia kepada khalayak antarabangsa, termasuk ahli akademik, pelajar dan penggubal dasar.
Dalam syarahan umum pada program Gareth Evans Oration 2024 bertajuk “Navigating Geopolitical Currents: Malaysia and Australia's pivotal role in Asia Pacific”, Anwar membincangkan isu kerjasama dua hala, visi antarabangsa dan nilai integriti dan kemanusiaan.
Beliau menekankan kepentingan untuk mengutamakan keamanan dan pertumbuhan negara mengatasi kepentingan serantau, blok atau ideologi.
Langkah ini dijangka dapat mengeratkankan lagi hubungan antara Malaysia dan Australia di samping mewujudkan asas kukuh untuk menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang pada masa depan.
Kunjungan hormat perkukuh komitmen Malaysia
Kunjungan hormat Anwar kepada Gabenor Jeneral Australia Jenaral David Hurley di Government House, Canberra, disifatkan sebagai pertemuan diplomatik yang penting antara Malaysia dan Australia.
Pertemuan itu memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk mengesahkan komitmen Malaysia meningkatkan kerjasama dengan Australia dalam pelbagai bidang serta membolehkan kedua-dua pemimpin membincangkan isu serantau dan global, seperti kestabilan serantau, pembangunan ekonomi dan perubahan iklim.
Perdagangan dan pelaburan
Meskipun fokus lawatan Anwar ke Canberra mungkin tidak meliputi isu perdagangan dan pelaburan dengan lebih meluas, tidak seperti di Melbourne, namun sudah pastinya terdapat potensi untuk penerokaan dan kerjasama dalam bidang ini dalam masa terdekat.
Mungkin masih terdapat peluang yang belum diteroka untuk mempelbagai dan mengembangkan hubungan perdagangan, oleh itu, lawatan Perdana Menteri ke Canberra masih boleh menjadi pemangkin perbincangan pada masa depan untuk mengenal pasti sektor bagi menjalin kerjasama, meningkatkan akses pasaran dan menyelaras proses perdagangan untuk memudahkan aliran perdagangan antara kedua-dua negara.
Manakala di Melbourne, selain bertemu dengan para pemimpin perniagaan dan eksekutif tertinggi daripada 18 syarikat Australia untuk menggalakkan mereka mengembangkan perniagaan dan pelaburan di Malaysia, empat memorandum persefahaman (MoU) juga dimeterai.
Dua daripada MoU tersebut adalah baharu, iaitu Perjanjian Praktikal antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Australia mengenai Kerjasama dalam Bidang Sains dan Teknologi dan Penggunaannya untuk Pelaksanaan Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear Komprehensif (CTBT) dan Keselamatan Siber dan Teknologi Kritikal.
Dua lagi adalah MoU yang diperbaharui iaitu kerjasama dalam bidang sukan dan pendidikan tinggi.
“Empat MoU itu, sudah tentunya, satu pencapaian yang luar biasa dalam melakarkan masa depan yang lebih progresif dan ia mencerminkan kejayaan hasil daripada mesyuarat kami,” Anwar dipetik sebagai berkata dalam sidang media bersama Albanese pada Isnin (4 Mac) di Melbourne.
Selain itu, syarikat utama Australia menunjukkan minat untuk melabur sejumlah RM24.5 bilion di Malaysia, termasuk mengembangkan pelaburan sedia ada, yang mana hasrat itu dinyatakan kepada Perdana Menteri semasa pertemuannya dengan lebih 20 syarikat Australia di Melbourne pada Selasa.
Australia adalah rakan kongsi yang rapat dan penting bagi Malaysia dan kedua-dua pihak mempunyai kerjasama kukuh dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, perdagangan dan pelaburan, pertahanan, keselamatan siber serta sains dan teknologi.
Pada 2023, perdagangan dua hala Malaysia dan Australia berjumlah US$18.57 bilion (RM84.64 bilion), mengukuhkan Australia sebagai rakan dagangan ke-10 terbesar Malaysia.
Sehingga Disember tahun lepas, Australia telah meluluskan pelaburan di Malaysia yang melibatkan 582 projek, dengan pelaburan yang direalisasikan melibatkan 366 projek.
Rumusan
Kesimpulannya, lawatan Anwar ke Australia bukan sahaja mengukuhkan hubungan dua hala tetapi juga menyediakan platfrom untuk perkongsian yang lebih dinamik dan kolaboratif antara Malaysia dan Australia.
Memandangkan kedua-dua negara terus bekerjasama ke arah matlamat bersama, kemajuan hubungan dalam pelbagai bidang dijangka terus meningkat dan menjanjikan masa depan yang meyakinkan.- BERNAMA