KUALA LUMPUR, 29 Januari – Lawatan negara oleh Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto ke Malaysia berjaya memberi impak positif kepada kepengerusian ASEAN yang bakal tiba.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berkata sokongan penuh yang diberikan Prabowo mencerminkan hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia, sekali gus menyumbang kepada kerjasama serantau yang lebih kukuh.
“Malaysia dan Indonesia adalah negara pengasas ASEAN serta tonggak utama dalam memperkukuh kerjasama serantau. Jika hubungan antara kedua-dua negara ini baik, ia pasti memberi kesan positif terhadap bentuk kerjasama dalam ASEAN.
“Sekiranya suasana hubungan ini kekal mesra dan erat, saya yakin hubungan di peringkat ASEAN juga akan bertambah kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media, di sini.