fb fb fb fb fb

Lawatan PM ke tiga negara perkukuh hubungan pelbagai hala

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR , 11 Julai - Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke tiga negara iaitu Brazil, Itali dan Perancis baru-baru ini disifatkan sebagai langkah strategik memperkukuh hubungan pelbagai hala (multilateral) dan membuka peluang ekonomi baharu untuk Malaysia di peringkat global.

Menurut Ahli Dewan Negara, Senator Mohd Hasbie Muda, lawatan tersebut bukan sekadar kunjungan diplomatik biasa, sebaliknya memperlihatkan usaha agresif Malaysia untuk mempelbagaikan rakan dagang dan pelabur asing, tidak lagi hanya tertumpu kepada negara-negara kuasa besar tradisional.

“Kita menuju ke arah multilateral, maknanya kita pelbagaikan hubungan dengan pemain global, bukan lagi hanya bergantung kepada satu blok atau kuasa besar semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di di sini.

Langkah tersebut dilihat selari dengan peningkatan nilai pelaburan asing ke Malaysia yang semakin memberangsangkan daripada RM264 bilion pada tahun 2022 kepada RM326 bilion pada 2023, dan melonjak kepada RM378 bilion pada tahun lalu.

Beliau juga berkata, pentingnya lawatan ke Brazil turut dikaitkan dengan penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak BRICS, blok ekonomi besar yang kini merangkumi hampir separuh daripada populasi dunia iaitu sekitar 4.45 bilion orang.

“Kita hadir bukan hanya melawat Brazil, tetapi menghadiri Sidang Kemuncak BRICS. Ini memberi kita akses kepada kuasa ekonomi baharu yang sedang berkembang pesat,” jelas beliau.

Kehadiran Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN juga memberi nilai tambah kepada lawatan tersebut kerana ASEAN kini mewakili lebih 630 juta penduduk satu pasaran yang signifikan dalam ekonomi global.

Sementara itu, antara potensi besar yang dibuka menerusi lawatan ke Brazil ialah pelaburan bernilai RM6.8 bilion, melibatkan syarikat-syarikat Malaysia seperti PETRONAS dan Incent Production.

“PETRONAS dan beberapa syarikat tempatan lain kini mula meneroka pasaran Brazil. Dengan sokongan kerajaan Brazil yang menggalakkan rakyat dan pelaburnya ke Malaysia, kita akan lihat lebih banyak sinergi ekonomi terbentuk,” katanya.

Malah, Presiden Brazil dijadualkan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober ini satu petunjuk jelas hubungan dua hala yang semakin erat.

Selain itu, lawatan itu juga membuka pintu ke seluruh rantau Amerika Latin, bukan sekadar Brazil.

Syarikat-syarikat Malaysia dijangka akan mempunyai lebih banyak peluang untuk menempatkan produk, teknologi dan kepakaran mereka di pasaran-pasaran baharu yang sebelum ini kurang diteroka.

Dengan momentum pelaburan dan eksport yang memberangsangkan, serta pendekatan diplomatik yang menyeluruh, Malaysia kini berada pada landasan kukuh untuk terus bersaing di peringkat antarabangsa.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM