fb fb fb fb fb

Lawatan PM ke Qatar berjaya jana potensi eksport bernilai RM700 juta

Perdana Menteri dalam Mesyuarat Meja Bulat dengan pemain industri di Qatar/PMO

DOHA, 14 Mei- RM700 juta potensi eksport Malaysia berjaya diperoleh susulan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Qatar.

Komitmen itu dibuat oleh pelbagai ketua industri Qatar semasa Mesyuarat Meja Bulat bersama Datuk Seri Anwar, semalam.

Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, mesyuarat itu menjadi pemangkin untuk memupuk perkongsian strategik, menggalakkan pelaburan dan peluang perdagangan kedua-dua negara.

"Ini menunjukkan barangan eksport kita boleh diterima di sini dan pada masa sama kita juga menunjukkan bahawa syarikat yang terlibat di Malaysia pasarannya bukan sahaja dengan 16 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang kita ada tetapi di luar FTA", katanya kepada pemberita selepas majlis jamuan makan malam Perdana Menteri bersama diaspora Malaysia, di sini.

Terdahulu mesyuarat meja bulat berkenaan dihadiri 45 kapten industri utama Qatar daripada 36 syarikat.

Mereka mewakili sektor seperti makanan dan pemprosesan makanan, farmaseutikal, bahan binaan, hartanah dan pembinaan.

Mesyuarat meja bulat itu juga dihadiri Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir. 

ROSLINA BINTI DIN