PUTRAJAYA, 22 November- Pelaburan bernilai RM12.8 billion berjaya dijana hasil lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke lima negara, minggu lalu.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata selain mengukuhkan hubungan diplomatik yang sedia erat terjalin, lawatan rasmi Perdana Menteri turut membuka peluang pasaran baharu.
"Manfaat lawatan termasuk pembukaan peluang pasaran baharu dan pengukuhan hubungan diplomatik. selain itu juga terdapat perkongsian strategik dalam tenaga boleh baharu, automotif serta pensijilan halal.
Selain, mewujudkan ekosistem baharu untuk memperluaskan akses pasaran Malaysia ke negara seperti Amerika Latin dan utara Afrika," katanya dalam sidang media mingguan selepas mesyuarat kabinet.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan turut menjelaskan lawatan rasmi Perdana Menteri ke negara berkenaan dapat menjimatkan hampir RM1 juta membabitkan kos penerbangan.
Menurut beliau, Kerajaan hanya menanggung RM1.662 juta menerusi sewaan pesawat khas iaitu Airbus A350 Malaysia Airlines berbanding kos penggunaan pesawat rasmi kerajaan iaitu RM2.5 juta.
“Kos ini telah dibiayai oleh kerajaan Malaysia untuk delegasi rasmi iaitu RM1.662 juta bersamaan 27 peratus daripada kos keseluruhan.
“Pihak kerajaan dapati ada penjimatan (sewaan pesawat khas) jika dibandingkan dengan penggunaan pesawat sedia ada,” katanya.
Fahmi turut menegaskan lawatan rasmi Perdana Menteri serta delegasi rasmi ke Mesir, Arab Saudi, Peru, Brazil dan Qatar itu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan tanpa melibatkan pembiayaan daripada syarikat swasta yang turut mengikuti lawatan tersebut.