fb fb fb fb fb

Lawatan PM China ke Malaysia, perkasa hubungan dua hala

Datuk Seri Mohamad Hasan

RANTAU, 18 Jun- Perdana Menteri China, Li Qiang dijadual tiba di Malaysia, malam ini.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, lawatan rasmi tiga hari Li Qiang ke Kuala Lumpur akan memperkasa dan mempertingkat hubungan kedua-dua negara terutama aspek dagangan.

Hubungan diplomatik yang terjalin sejak 50 tahun lalu dilihat akan memberi faedah kepada rakyat kedua-dua negara.

"Hubungan rapat Malaysia dan China perlu kita pertingkatkan, dalam masa yang sama ada juga perkara perkara yang perlu diselesai, perlu dirunding bersama seperti masalah di Laut China Selatan dan macam-macam lagi.

"...hubungan baik ini memungkinkan kita menguruskan apa juga masalah dengan baik," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran inisiatif Kampung Angkat Madani dan Ibadah Korban di Dewan Orang Ramai Kampung Kanchong, di sini.

Dalam lawatan sulung Li Qiang ke Malaysia, beliau dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara fokusnya, bertukar pandangan isu serantau, dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Dalam perkembangan lain China memuji pendirian positif Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terutamanya melibatkan hubungan kedua-dua negara.

Jurucakap Kementerian Luar China Lin Jian berharap, kerjasama dalam pelbagai bidang itu dapat memperdalam pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Malaysia.

Dalam pada itu, Lin berkata, China dan Malaysia merupakan negara jiran yang mempunyai persahabatan tradisional.

Beliau juga mengulangi pendirian China yang teguh menyokong Malaysia dan negara-negara ASEAN untuk mempertahan solidariti dan kemajuan kendiri selain mengekalkan pemusatan ASEAN dan kerangka serantau yang inklusif.

Anwar sebelum ini menyatakan, wajar bagi Malaysia untuk kukuhkan hubungan dengan China, kerana negara itu sanggup menerima dan mendengar cadangan dan kebimbangan dari Malaysia.

Negara tembok besar itu juga membantu Malaysia membangunkan ekonomi digital, tenaga boleh baharu (TBB) dan kecerdasan buatan (AI).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI