PUTRAJAYA, 25 April- Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan lawatan rasmi ke China dari 23 sehingga hari ini.
Lawatan tersebut yang pertama sejak beliau memegang jawatan itu pada Disember 2023.
Kementerian Luar berkata Mohamad mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Wang Yi di Beijing untuk membincangkan isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.
"Pertemuan tersebut memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk menilai kemajuan kerjasama dua hala dan meneroka bidang kolaborasi baharu.
"Lawatan ini amat penting kerana Malaysia dan China meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tahun ini serta ulang tahun ke-11 penaiktarafan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China kepada perkongsian strategik komprehensif pada 2013," katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, Mohamad juga bertemu dengan Liu Jianchao, Menteri Jabatan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat dan pegawai-pegawai kanan lain dari Parti Komunis China serta akan mengadakan sesi libat urus dengan diaspora Malaysia.
China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia untuk 15 tahun berturut-turut.
Pada tahun 2023, jumlah dagangan antara Malaysia dan China bernilai RM450.84 bilion (AS$98.80 bilion).