Lawatan Modi perkukuh perkongsian strategik komprehensif Malaysia–India

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bersama Perdana Menteri India, Narendra Modi/BERNAMA

PUTRAJAYA, 7 Februari – Perdana Menteri India, Narendra Modi, akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari bermula 7 hingga 8 Februari 2026, atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lawatan rasmi antara pemimpin Malaysia dan India mengukuhkan Perkongsian Strategik Komprehensif kedua negara.
  • Kedua pemimpin akan menilai kemajuan dua hala dan meneroka kerjasama dalam perdagangan, pertahanan, serta pendidikan.
  • Pelbagai MoU dan perjanjian ditandatangani termasuk antirasuah, semikonduktor, TVET, dan pengurusan bencana.
  • Kerjasama ekonomi kuat tercermin melalui perdagangan dan komitmen memperluas peluang pelaburan serta keterhubungan.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan lawatan tersebut merupakan kunjungan balas kepada lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia ke India pada Ogos 2024, sekali gus mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara yang kini berada pada tahap Perkongsian Strategik Komprehensif.

Sepanjang lawatan, Modi akan diiringi oleh Menteri Hal Ehwal Luar India, Dr S. Jaishankar, serta beberapa pegawai kanan kerajaan India.

Perdana Menteri India akan diberikan istiadat sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya pada 8 Februari, sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana.

Menurut Wisma Putra, kedua-dua pemimpin dijangka menilai kemajuan hubungan dua hala Malaysia–India serta meneroka peluang kerjasama baharu, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan; pertahanan dan keselamatan; buruh; pelancongan; keterhubungan; pertanian; serta pendidikan.

“Perbincangan turut merangkumi isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” menurut kenyataan itu.

Selepas mesyuarat tersebut, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU), termasuk dalam bidang pencegahan rasuah; piawaian latihan dan pensijilan pelaut; serta pengurusan bencana.

Selain itu, turut dimeterai ialah Perjanjian Pengeluaran Audio Visual, Memorandum Kerjasama (MoC) dalam bidang buruh, pertukaran Nota (EoN) berkaitan semikonduktor, penjagaan kesihatan, keselamatan negara serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), selain pertukaran Surat (EoL) mengenai kerjasama pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Kedua-dua pihak juga akan menyerahkan Rangka Kerja Perjanjian International Big Cat Alliance (IBCA).

Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menganjurkan majlis jamuan rasmi sebagai penghormatan kepada Perdana Menteri India.

Wisma Putra turut memaklumkan bahawa jumlah perdagangan Malaysia–India pada 2025 mencecah RM79.49 bilion (USD18.59 bilion). Eksport Malaysia ke India berjumlah RM52.30 bilion, manakala import dari India berjumlah RM27.19 bilion.

Eksport utama Malaysia merangkumi minyak sawit dan produk berasaskan sawit; produk elektrik dan elektronik, manakala import dari India terdiri terutamanya daripada produk pertanian, petroleum dan bahan kimia. India kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Selatan.

“Lawatan ini dijangka mengukuhkan lagi hubungan dua hala serta memperluas kerjasama dalam bidang kepentingan bersama, berlandaskan persahabatan kukuh sejak hubungan diplomatik terjalin pada 1957,” menurut kenyataan itu.