fb fb fb fb fb

Lawatan kerja PM Anwar ke UAE tarik RM40.6 bilion komitmen pelaburan

(Anwar Ibrahim dan Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan/FB Anwar Ibrahim)

KUALA LUMPUR, 6 Oktober- Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) berjaya menarik komitmen pelaburan bernilai RM40.6 bilion dalam pelbagai sektor termasuk tenaga boleh diperbaharui (RE), aeroangkasa dan logistik.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan, dalam lawatan kerja selama dua hari bermula semalam itu, Anwar telah mengadakan beberapa pertemuan, antaranya dengan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA), Kumpulan Mubadala dan Abu Dhabi Qabidah (ADQ).

"Perdana Menteri dan Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengadakan pertemuan bersama Pengarah Urusan ADIA, Sheikh Hamed Zayed Al Nahyan; Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala, Khaldoon Al Mubarak dan Mohamed Hassan Al Suwaidi iaitu Menteri Pelaburan UAE, Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif ADQ," katanya dalam kenyataan.

Selain itu, delegasi turut mengadakan pertemuan dengan International Holding Company, sebuah syarikat pelaburan berimpak tinggi berpangkalan di Abu Dhabi.

Pelaburan yang terjalin adalah termasuk komitmen oleh Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (MASDAR) untuk melabur sehingga RM37.8 bilion bagi membangunkan projek RE dengan kapasiti 10GW di Malaysia.

"MoU (memorandum persefahaman) antara MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) dan MASDAR ditandatangani hari ini, disaksikan oleh Anwar, Tengku Zafrul dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir," katanya.

MIDA dan Majlis Pelaburan Antarabangsa UAE (UAEIIC) juga bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama sedia ada bagi meningkatkan kerjasama ekonomi mampan Malaysia-UAE, dengan tujuan meluaskan lagi aliran pelaburan mampan antara kedua-dua negara.

"Untuk itu, kerjasama strategik dengan MASDAR dan UAEIIC akan membuka jalan bagi Malaysia agar bergerak seiring teknologi baharu yang mengutamakan penyelesaian rendah karbon, pembuatan hijau dan penyelesaian ekonomi pekeliling," katanya.

Tengku Zafrul berkata, “Kami amat berbesar hati walaupun lawatan kerja berlangsung singkat, kami berjaya memperoleh RM40.6 bilion komitmen pelaburan."

Pada lawatan itu, Majlis Perniagaan Malaysia-UAE (MUBC) turut mengumumkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz sebagai Pengerusi bahagian Malaysia, manakala Naib Presiden Kanan Mubadala Energy Rashid Alblooshi, sebagai Pengerusi bahagian UAE.

Pada tahun 2022, UAE menjadi rakan perdagangan kedua terbesar dalam kalangan negara di rantau Asia Barat dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Perdagangan dua hala mencecah RM38.73 bilion pada 2022, mewakili peningkatan ketara sebanyak 73.5 peratus tahun ke tahun.

Daripada segi pelaburan, UAE kini merupakan pelabur terbesar di Malaysia dari rantau Asia Barat dan menduduki tempat kedua terbesar dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Sehingga kini, pelaburan yang dilaksanakan dari UAE berjumlah RM1.48 bilion dalam pelbagai projek pembuatan di Malaysia.

(FOTO FB Anwar Ibrahim)

Media Baharu