PUTRAJAYA, 10 Februari – Lawatan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia hari ini mengukuhkan lagi hubungan erat, berterusan dan berpandangan jauh antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam lebih dua dekad kepimpinan Erdoğan, Turkiye telah melalui era transformasi yang luar biasa, menjadikannya pemain utama di pentas global.
"Beliau telah mengubah landskap politik Turkiye, mengangkat maruah negara dan meletakkan Turkiye sebagai kuasa yang tidak boleh diketepikan dalam arena antarabangsa," katanya ketika berucap pada majlis syarahan umum Erdogan sempena lawatan Presiden Turkiye itu ke negara ini di sini hari ini.
Menurut Anwar, kejayaan Turkiye dalam pembangunan ekonomi, infrastruktur dan diplomasi adalah bukti kepimpinan Erdoğan yang berani dan berwawasan jauh.
"Hasilnya jelas untuk semua lihat. Turkiye hari ini semakin kuat, yakin dengan hala tujunya, dan berperanan aktif di peringkat global.
"Kemajuan ekonominya, pembangunan infrastrukturnya, serta keberanian dalam diplomasi adalah hasil kepimpinan yang tidak menunggu peluang diberikan, tetapi berusaha sendiri untuk berada di barisan hadapan.
"Ada yang sekadar beretorik, dan ada yang bertindak. Presiden Erdoğan jelas berada dalam kelompok yang bertindak," katanya.
Anwar juga menyatakan kekagumannya terhadap kemajuan teknologi Turkiye, termasuk dalam industri dron Bayraktar, kenderaan elektrik TOGG, teknologi angkasa dan kecerdasan buatan (AI).
"Kejayaan ini membuktikan bahawa Turkiye enggan terikat dengan jangkaan lama, sebaliknya memilih untuk menerajui perubahan dengan kebebasan sebenar," tambahnya.
Presiden Erdoğan tiba di Malaysia hari ini untuk lawatan rasmi selama dua hari atas jemputan Perdana Menteri.
Turkiye sebagai Rakan Dialog Sektoral ASEAN, berada pada kedudukan yang baik untuk memainkan peranan penting dalam memajukan keutamaan ekonomi ASEAN.
Turkiye menjadi Rakan Dialog Sektoral ASEAN pada 2017, dengan Bidang Kerjasama Praktikal ASEAN-Turkiye (2024-2028) berfungsi sebagai rangka kerja untuk kerjasama strategik antara ASEAN dan Turkiye.
Pada tahun 2024, Turkiye merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat.
Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Turkiye direkodkan pada RM24.13 bilion (USD5.28 bilion) pada 2024, peningkatan 18.7 peratus berbandinhg 2023.