PUTRAJAYA, 7 Februari-Kursus khas usahawan dan program TVET ‘homestay’ atau inap desa diperkenal bagi menyokong Kepengerusian ASEAN 2025 serta persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kursus serta program berkenaan diperkenal Institut Kemajuan Desa (INFRA), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Jelas beliau, pengenalan kursus dan program itu amat penting untuk memastikan usahawan desa bersedia mengadaptasi standard antarabangsa dalam pengurusan inap desa sekali gus meningkatkan daya saing sektor pelancongan desa negara.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut mahu INFRA terus menjadi peneraju dalam menyediakan modul latihan berimpak tinggi yang bukan sahaja menawarkan kursus tetapi turut memastikan pembangunan modal insan desa yang berkualiti dan berdaya tahan serta memenuhi keperluan semasa.
Sehingga kini, INFRA telah melahirkan 295 graduan TVET Program Homestay manakala 10,094 peserta kursus telah berdaftar di bawah MOTAC sebagai pengusaha Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM).