JELEBU, 21 Mac- Latihan simulasi pengurusan krisis melibatkan insiden serangan pengganas, tembakan, dan tebusan pelajar di Politeknik Ungku Omar pada Isnin lalu bertujuan memastikan pelajar sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr. Mohd Zahari Ismail, berkata latihan yang dikendalikan oleh agensi keselamatan ini diadakan secara berkala dan memberikan pengalaman praktikal kepada pelajar.
"Latihan ini menyedarkan warga institusi pendidikan tinggi bahawa mereka perlu sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan. Walaupun hanya simulasi, ia sangat baik dan praktikal. Kita juga bertuah kerana dipilih sebagai lokasi latihan oleh pihak berkuasa," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Perdana sempena Program Ihya Ramadan POLYCC di Kolej Komuniti Jelebu.
Dalam perkembangan lain, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) akan menilai semula program akademik yang ditawarkan bagi memastikan ia selaras dengan keperluan industri dan mendapat permintaan tinggi daripada pelajar.
"Program yang tidak lagi relevan akan digantikan dengan kursus lebih terkini yang memenuhi keperluan industri semasa," tambahnya.
Selain itu, JPPKK juga merancang untuk meningkatkan pengambilan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengikuti Program Asasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sebagai usaha memperkasa tenaga kerja mahir di negara ini.