BUTTERWORTH, 21 Mei- Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menyifatkan latihan simulasi bencana adalah sesuatu yang perlu diadakan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan pada bila-bila masa.
Tahap kesiapsiagaan juga merupakan aspek paling penting dalam memastikan sesebuah projek atau kawasan perindustrian berada pada tahap selamat.
"Sebagai negeri yang banyak industri pelbagai jenis.. Simulasi sedemikian adalah sesuai untuk memastikan kita senantiasa siap siaga, senantiasa mempunyai kesedaran tinggi terhadap kemungkinan berlakunya apa-apa bencana," katanya kepada pemberita selepas latihan simulasi bencana industri Pelabuhan Pulau Pinang di sini.
Simulasi itu melibatkan pelbagai pihak bagi memastikan sektor perindustrian dapat beroperasi dengan risiko minimum selain meningkatkan tahap kesiapsiagaan semua pihak yang terlibat.
Majlis itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Rosli Isa; Exco Perumahan dan Alam Sekitar Datuk Seri S.Sundrarajoo; dan Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Datuk Yeoh Soon Hin.