fb fb fb fb fb

Latihan percubaan PLKN 3.0 bermula 12 Januari 2025

Latihan percubaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan diadakan selama dua minggu bermula 12 Januari tahun hadapan / Foto Hiasan / Bernama

SEREMBAN, 16 November - Latihan percubaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan diadakan selama dua minggu bermula 12 Januari tahun hadapan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata latihan yang bertempat di Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur itu akan membabitkan seramai 200 pelatih lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara sukarela.

"Melalui percubaan ini, kita akan menilai silibus dan modul-modul latihan yang digunakan, serta mungkin melakukan penambahbaikan berdasarkan pengalaman pelaksanaan PLKN sebelum ini. Ini bertujuan memastikan persediaan kita benar-benar mencapai prestasi terbaik menjelang Jun nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) peringkat Negeri Sembilan, di sini.

Tambah Adly, latihan terbuka kepada semua rakyat Malaysia berusia lingkungan 18 hingga 20 tahun dengan permohonan boleh dilakukan di laman sesawang Kementerian Pertahanan, www.mod.gov.my sehingga 23 November ini.

Sebanyak 13 kem tentera telah dikenal pasti sebagai lokasi pelaksanaan PLKN 3.0, termasuk di Kuala Lumpur dan Pahang bagi menempatkan peserta menjelang 2026.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN