fb fb fb fb fb

Larian MOF: Beri pendedahan ASEAN kepada masyarakat

Amir Hamzah Azizan / Foto RTM

PUTRAJAYA, 23 Februari- Larian ASEAN anjuran Kementerian Kewangan (MOF) adalah inisiatif kerajaan dalam usaha menyemarakkan Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025.

Menteri Kewangan ll, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan mengenai ASEAN kepada masyarakat, termasuk aspek penubuhan dan kepentingannya terhadap negara.

"Tahun ini, Malaysia mempengerusikan ASEAN, jadi untuk semua orang yang berada di Malaysia, mereka perlu tahu apa makna ASEAN, kenapa ASEAN itu penting, dan bagaimana ASEAN boleh membantu dalam memperkukuhk ekonomi kita, memberi peluang kepada rakyat kita, serta menguatkan prinsip-prinsip penting, sebagai salah satu gabungan dalam dunia yang banyak pergolakan pada masa kini," katanya pada program Larian ASEAN di Dataran Wawasan di sini hari ini.

Tambahnya, penganjuran larian itu juga dapat menyokong amalan gaya hidup sihat terutamanya dalam kalangan warga kerja MOF.

Turut dianjurkan, pameran maklumat berkaitan ASEAN, inisiatif derma darah dan pemeriksaan kesihatan serta cabutan bertuah.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata pengumuman dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka berkembang positif.

Unjuran itu berdasarkan prestasi kukuh KWSP, yang mencatat pencapaian lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

"Kalau kita tengok prestasi sehingga suku tahun ketiga tahun lalu, ia menggalakkan. Sehingga suku tahun ketiga, ia telah mencapai 57.5 bilion, lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

"Jadi, insya-Allah, prestasi itu akan berterusan dalam suku tahun keempat, dan insya-Allah, dividennya akan merangsang. Tetapi saya tak boleh komenlah mengenai dividen tersebut, tunggulah pengumuman daripada EPF," katanya lagi.

Tambah beliau, prestasi bursa dan saham Malaysia turut menyokong kemungkinan pengumuman positif itu berlaku.

Bursa Malaysia diiktiraf sebagai pasaran saham terbaik di ASEAN, dengan 55 penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) tertinggi direkodkan dalam tempoh 19 tahun.

Ini terutamanya kedudukan Bursa Malaysia yang diiktiraf sebagai pasaran saham terbaik di ASEAN, serta 55 penyenaraian IPO tertinggi direkodkan dalam tempoh 19 tahun.

Sebelum ini, beberapa pakar ekonomi menyatakan kemungkinan dividen tahun lalu melebihi enam peratus adalah tinggi, berdasarkan prestasi kukuh KWSP pada suku ketiga 2024.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM