KRUBONG, 19 Februari- Seorang pemandu lori bertindak nekad melompat keluar daripada kenderaan dipandunya bagi mengelak ditahan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, di sini, petang tadi.
Tindakan itu menyebabkan lori muatan lima tan yang membawa bahan binaan bergerak tanpa kawalan sebelum merempuh sebuah rumah mengakibatkan kerosakan pada pagar, tembok dan sebuah kenderaan.
Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff dalam kenyataan memaklumkan lori berkenaan dikesan di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) sebelum pihaknya mengekori kenderaan itu sejauh 25 kilometer sehingga ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pemandu lori berusia 27 tahun yang menyedari kehadiran pihak penguat kuasa cuba melarikan diri dengan melompat keluar daripada kenderaan, menyebabkan lori tersebut terus bergerak tanpa kawalan.
Penduduk setempat yang menyaksikan kejadian bertindak pantas membantu memberkas pemandu sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.
Hasil semakan mendapati lori terbabit mempunyai lapan rekod saman lampau selain lima notis saman baharu atas pelbagai kesalahan termasuk memandu secara cuai. Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, rakaman kejadian berdurasi kira-kira 49 saat turut tular di media sosial.