RANTAU PANJANG, 2 Januari- Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan memaklumkan kehadiran murid dan pelajar yang tinggal di Golok, Thailand masih baik sejak penguatkuasaan larangan rentas sempadan Disember lalu.
Pengarahnya, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz berkata, walaupun terpaksa menggunakan pintu masuk sah Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, namun ia tidak menghalang pelajar untuk hadir ke sekolah.
Beliau berkata, semua pelajar yang tinggal di Thailand juga sudah menggunakan laluan sah selain ada yang memilih untuk tinggal di asrama.
JPN dimaklumkan tidak berdepan sebarang isu tentang kehadiran mereka ke sekolah dan bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka tinggal di asrama.
Beliau turut berterima kasih kepada agensi terlibat atas kerjasama yang telah diberikan dalam memudahkan urusan murid serta pelajar terbabit.
"Setakat ini, kami sangat positif, alhamdulillah, dalam perbincangan dengan agensi yang terlibat.
"Anak-anak kita yang berulang-alik memang menggunakan ICQS dengan dokumen yang lengkap, dan setakat ini tiada masalah daripada segi kehadiran mereka ke sekolah seperti biasa kecuali semasa banjir baru-baru ini, mungkin ada sedikit gangguan.
"Namun, setakat ini saya dimaklumkan bahawa kita tidak mempunyai isu berkaitan kehadiran dan juga calon-calon peperiksaan.
"Semua calon berada di sini, dan tiada yang berada di sana, setakat ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra bersama 189 calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Pasir Mas, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, polis Kelantan akan menahan sesiapa yang menggunakan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan negara dan Thailand di sepanjang Sungai Golok, berkuat kuasa 1 Disember lalu.
Sehingga kini, 13 individu ditahan sepanjang larangan rentas sempadan itu dilaksanakan.