SEMENYIH, 10 Mac – Larangan pemanduan ke atas kenderaan barangan sempena Aidilfitri akan berkuat kuasa mulai 29 Mac di seluruh negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata larangan ini akan dikuatkuasakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama empat hari iaitu pada 29 dan 30 Mac (sebelum perayaan), serta 5 dan 6 April (selepas perayaan).
Menurutnya, langkah ini diambil bagi mengurangkan kesesakan trafik serta memberi laluan kepada kenderaan persendirian yang pulang ke kampung halaman.
“Sebagai usaha berterusan MOT dan JPJ untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya semasa musim perayaan, JPJ akan melaksanakan aktiviti penguatkuasaan secara menyeluruh dan berfokus menerusi Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri dari 24 Mac hingga 8 April 2025 di seluruh negara.”
Tambah beliau, operasi khas ini bertujuan untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dan undang-undang jalan raya.
"Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memastikan aspek keselamatan menjadi keutamaan semasa memandu,” katanya pada sidang media Operasi Khas dan Berbuka Puasa bersama Penguat Kuasa JPJ di Stesen Penguat Kuasa JPJ Semenyih, di sini, hari ini.