fb fb fb fb fb

Larangan kenderaan asing beli RON95 kekal

Datuk Seri Amir Hamzah pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Pasca Pembentangan RMK13 Zon Utara di Pusat Konvensyen Setia Spice, Bayan Lepas. Foto Bernama

GEORGE TOWN, 23 September - Larangan bagi kenderaan nombor pendaftaran asing untuk membeli petrol RON95 masih kekal walaupun bahan api itu akan diapungkan untuk golongan tidak layak bagi subsidi itu.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sebaliknya penjualan petrol RON97 akan diteruskan seperti biasa dan kekal sebagai bahan api utama untuk kenderaan nombor pendaftaran asing berkenaan.

Warga asing yang bermastautin di Malaysia dengan nombor pendaftaran Malaysia bagaimanapun boleh membeli RON95 pada harga pasaran yang akan ditetapkan pada hujung bulan.

Jelas beliau, di bawah pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95), hanya warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu sah, layak membeli RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter.

"Kenderaan berdaftar asing (tidak kiralah) dari Thailand, Indonesia atau Singapura tidak dibenarkan membeli RON95. Mereka hanya boleh beli RON97 sepertimana ketetapan peraturan sedia ada...RON97 memang diapungkan secara bebas.

"(Namun) warga asing bermastautin di Malaysia dan membawa kereta nombor pendaftaran Malaysia boleh membeli RON95 pada harga pasaran yang akan ditentukan pada hujung bulan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Pasca Pembentangan RMK13 Zon Utara di Pusat Konvensyen Setia Spice, Bayan Lepas di sini.

Mengulas mengenai kemungkinan berlakunya kekurangan bekalan RON95 untuk rakyat tempatan berikutan pembelian tanpa subsidi bagi warga asing, Datuk Seri Amir Hamzah memberi jaminan isu sedemikian tidak timbul.

"Tiada masalah kekurangan logistik atau bekalan kerana mereka (kenderaan berdaftar asing) hanya boleh membeli RON97,” katanya.

JALALUDDIN BIN BAHARIN