fb fb fb fb fb

Larangan guna beg plastik, PBT laksana penguatkuasaan lebih agresif

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, Arul Kumar ditemui pemberita selepas meninjau semakan pematuhan larangan penggunaan beg plastik sekali guna, di sebuah pasar raya di sini pada Selasa.

SEREMBAN, 21 Ogos- Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan diminta melaksanakan penguatkuasaan lebih agresif kepada pemegang lesen perniagaan berkaitan larangan penggunaan beg plastik sekali guna, polistirena serta penyedut minuman.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, Arul Kumar berkata ini berikutan tempoh kempen dan kesedaran yang dilaksanakan sejak 5 Oktober 2022, sudah mencukupi.

Menurutnya, tindakan tersebut termasuk mengeluarkan kompaun serta merta kepada pihak yang melanggar syarat lesen dan pembatalan lesen perniagaan oleh PBT.

“Penguatkuasaan ini termasuk kepada penjaja dan peniaga pasar malam. Larangan penggunaan beg plastik sekali guna dikeluarkan sejak lama, malah setiap PBT diarahkan untuk mengadakan kempen dan memasukkan larangan ini dalam syarat lesen perniagaan.

“Mereka hanya boleh membekalkan beg plastik biodegradasi dan mudah terurai atau beg jenis kain, kertas atau jaring, dan tiada caj boleh dikenakan kepada pelanggan ke atas penyediaan beg plastik ini, jika dicaj, pengguna boleh membuat aduan kepada PBT untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau semakan pematuhan larangan penggunaan beg plastik sekali guna, di sebuah pasar raya di sini pada Selasa.

Arul berkata sebanyak 1,152 Notis Peringatan dikeluarkan di seluruh negeri, manakala 14 kompaun dikeluarkan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) bagi tempoh Jun hingga Julai sepanjang penguatkuasaan sejak 2022.

Tarikh kuat kuasa larangan penggunaan beg plastik sekali guna, polistirena dan penyedut minuman atas permintaan di setiap PBT seluruh Negeri Sembilan dilaksanakan bermula 1 Mei 2023 dan MBS 1 April 2022.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI