fb fb fb fb fb

Pegawai awam dilarang beri kenyataan awam - JPA

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 4 Oktober- Semua pegawai awam diingatkan agar tidak membuat sebarang kenyataan awam termasuk melalui media sosial kecuali mereka telah mendapat kuasa atau mandat daripada kementerian atau jabatan.

Peringatan itu disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar semasa Mesyuarat Pengurusan Jabatan Perdana Menteri Tahun 2024.

"Jika disabitkan kesalahan dan mengingkari mana-mana peraturan yang sedang berkuat kuasa, tindakan tatatertib boleh dikenakan kepada pegawai awam terlibat," menurut perkongsian menerusi Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini.

Ia turut menjelaskan bahawa pegawai awam tidak boleh secara lisan atau bertulis membuat pernyataan awam yang boleh memudaratkan dasar, rancangan atau keputusan kerajaan tentang sebarang isu, memalukan atau memburukkan nama kerajaan.

Larangan berkaitan perkara berkenaan dinyatakan secara jelas dalam Peraturan 19(1) dan 19(2) di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Untuk maklumat lanjut, boleh merujuk contoh kes dalam Buku Setitik Nila 2.0: Koleksi Pengurusan Kes Tatatertib Pegawai Awam melalui pautan https://docs.jpa.gov.my/.../flipbook/Buku-Setitik-Nila-ver2/.

SITI AISHAH MD ISA