
KUALA LUMPUR, 1 April – Kerajaan memberi jaminan laporan siasatan jawatankuasa khas berkaitan isu pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki akan diumumkan selepas semua proses siasatan selesai sepenuhnya.
- Kerajaan menafikan dakwaan media antarabangsa bahawa Perdana Menteri meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan.
- Ketua Setiausaha Negara memaklumkan Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan lanjut terhadap agensi media berhubung dakwaan itu.
- Beberapa proses perlu dipatuhi sebelum sebarang pengumuman dibuat, menurut kenyataan KSN dan Datuk Fahmi.
- Unit Siasatan AMLA menyatakan siasatan masih berjalan dan belum dimuktamadkan; keputusan hanya didedahkan selepas selesai.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, komitmen tersebut dipersetujui Jemaah Menteri sebaik sahaja kedua-dua aspek siasatan dimuktamadkan dan ia juga selaras dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi jaminan laporan berkenaan akan didedahkan kepada umum.
“Komitmen daripada Jemaah Menteri, khusus daripada Perdana Menteri, adalah setelah kedua-dua aspek siasatan selesai, memang akan diumumkan,” katanya pada sidang media mingguan di Angkasapuri, Kota Media, hari ini.
Semalam, kerajaan menafikan dakwaan media antarabangsa yang mengatakan Perdana Menteri meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan pemilikan saham Tan Sri Azam Baki.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri dalam satu kenyataan semalam berkata, Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan selanjutnya terhadap agensi media itu susulan dakwaan berkenaan.
Mengulas lanjut, Datuk Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, KSN sebelum ini telah memaklumkan terdapat beberapa proses yang perlu dipatuhi sebelum sebarang pengumuman dibuat.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh dakwaan media antarabangsa mengenai kemungkinan wujud kaitan antara Tan Sri Azam dan manipulasi korporat.
Bagaimanapun, katanya, berdasarkan penjelasan pihak berkuasa di bawah Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), proses siasatan masih berjalan dan belum dimuktamadkan.
“Untuk tujuan itu, kita perlu pastikan siasatan tersebut selesai sepenuhnya sebelum apa-apa tindakan lanjut berkait dengan pemakluman hasil daripada isu siasatan terhadap pegangan saham Tan Sri Azam itu boleh didedahkan,” katanya.