Laporan PAC: HRD Corp gantung tiga pengurusan tertinggi

Gambar RTM

KUALA LUMPUR, 6 Februari – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menggantung tugas tiga anggota pengurusan tertinggi susulan penemuan dan syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ketua Audit Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

RINGKASAN BERITA AI
  • HRD Corp menggantung tugas tiga pengurusan tertinggi susulan penemuan dan syor PAC, Ketua Audit Negara dan SPRM.
  • Tindakan diambil berhubung levi tidak digunakan, pembelian Menara Ikhlas, pelaburan ekuiti dan kegagalan NCS bernilai RM14 juta.
  • Siasatan dalaman akan dijalankan telus dengan semakan dokumen, rekod kewangan, pengambilan keterangan dan jejak audit.
  • Penambahbaikan tadbir urus termasuk had masa latihan, pemantauan berperingkat dan penempatan pegawai penyelia lapangan.

HRD Corp dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu diambil berdasarkan penemuan berkaitan pengurusan levi tidak digunakan, pemerolehan Menara Ikhlas, pengurusan pelaburan ekuiti, selain isu terkini melibatkan Sistem Teras Baharu (New Core System – NCS) bernilai RM14 juta yang tertangguh lebih empat tahun selepas gagal melepasi tiga Ujian Penerimaan Pengguna (UAT).

Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz, berkata tindakan tersebut adalah sebahagian daripada usaha pemulihan dan pengukuhan tadbir urus selaras dengan aspirasi Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.

“Langkah ini menepati penekanan terhadap standard integriti, ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi dalam institusi tenaga kerja bagi memastikan pengurusan HRD Corp memberi impak positif kepada majikan serta tenaga kerja negara, sejajar semangat MADANI Bekerja,” tegasnya.

Menurut beliau, HRD Corp akan melaksanakan siasatan dalaman secara telus dan berintegriti, dengan mandat, skop dan terma rujukan yang jelas.

“Proses siasatan merangkumi semakan dokumen, rekod kewangan, kelulusan, minit mesyuarat dan jejak audit berkaitan, selain pengambilan keterangan serta pengesahan fakta daripada pegawai terlibat, tertakluk kepada prinsip keadilan asasi dan keperluan kerahsiaan,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa dalam minggu pertama pelantikan Ketua Eksekutif baharu, HRD Corp berjaya memperoleh penyelesaian kira-kira 18 peratus daripada portfolio pelaburan berstruktur tertunggak, dengan pulangan berjumlah RM151.8 juta.

Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan proses pemulihan pantas telah dilaksanakan bagi memastikan pelaburan HRD Corp lebih terjamin dan dilindungi.

Sementara itu, HRD Corp turut mengumumkan penambahbaikan bagi memperkukuh tadbir urus pelaksanaan program latihan apabila latihan yang diluluskan hanya boleh dijalankan selepas tempoh minimum 21 hari hingga tiga bulan daripada tarikh kelulusan.

Langkah itu bertujuan memberi masa mencukupi kepada majikan dan penyedia latihan untuk membuat perancangan rapi, termasuk tempahan lokasi, pendaftaran peserta serta penyelarasan logistik.

Menurut kenyataan itu, ketiadaan pemantauan sistematik sebelum ini telah melemahkan kawalan tadbir urus, selain wujud kes latihan dilaksanakan sebelum kelulusan diperoleh dan permohonan geran hanya dikemukakan selepas latihan selesai.

Bagi menangani isu berkenaan, HRD Corp akan memperkukuh rangka kerja pemantauan dan penguatkuasaan secara berperingkat, termasuk menempatkan pegawai di lapangan untuk menyelia pelaksanaan latihan.

HRD Corp yakin langkah penambahbaikan itu akan memperkukuh pematuhan, akauntabiliti dan tadbir urus selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.