fb fb fb fb fb

Laporan Banci 2020 gambaran situasi sebenar kependudukan negara

SHAH ALAM, 14 Februari - Dapatan Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 memberi gambaran sebenar mengenai situasi kependudukan semasa Malaysia.

Ini termasuklah saiz, taburan, komposisi dan ciri sosio-ekonomi penduduk serta perumahan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata statistik Banci Penduduk dan Perumahan akan digunakan sebagai input dalam penentuan geran per kapita, penggubalan dasar utama, penanda aras dalam pengukuran Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) 2030.

Bertitik-tolak daripada maklumat yang diperoleh itu juga, kerajaan akan menentukan bagaimana pembiayaan bernilai berbilion ringgit dapat dibelanjakan di seluruh negara.

"Di sinilah bagaimana kerajaan dapat menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat yang layak dan memerlukan seperti menangani jurang pendapatan dan kekayaan rakyat yang semakin melebar, membasmi kemiskinan dan mengurus kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40), termasuk golongan mudah terjejas dari segi ekonomi dan terpinggir.

"Di sini, Jabatan Perangkaan juga bertanggungjawab dalam mengeluarkan pengiraan kumpulan isi rumah berpendapatan mengikut kategori B40, M40 dan T20.

"Kumpulan sasar seperti warga emas dan golongan kelainan upaya turut tidak akan terkecuali menikmati limpahan kesejahteraan ini," kata Ismail Sabri ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 di sini.

Tambah Perdana Menteri, penghasilan profil yang terperinci akan digunakan untuk membuat perancangan dan keputusan berkenaan perkhidmatan awam yang diperlukan bagi setiap lokaliti seperti hospital, sekolah, jalan raya dan pengangkutan awam.

Di samping menentukan dasar dan polisi yang terbaik, maklumat yang dikumpul melalui banci akan digunakan untuk menilai pencapaian semasa negara.

Kerajaan juga akan memfokuskan kepada penyediaan generasi muda yang dapat mengharungi cabaran Dasar Industri 4.0 serta melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kemahiran penilaian analitik berdasarkan data dan sains.

 

Media Baharu