SUBANG JAYA, 1 April- Laporan awal insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights Subang Jaya dijangka diperoleh dalam tempoh 72 jam demikian dinyatakan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
"Saya rasa dalam tempoh 72 jam beberapa petunjuk, contohnya dakwaan mengatakan ada pengorek mencetuskan hal tersebut.
"Sekiranya dakwaan mengorek dan berlaku letusan, saya fikir mesin berkenaan tidak akan mungkin terselamat. Itu yang akan kita cari," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran tersebut di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights di sini.
Dalam pada itu beliau memaklumkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengetuai siasatan insiden itu dengan kerjasama badan-badan terlibat lain.
"Bomba akan menyiasat kebakaran tetapi lain-lain melibatkan banyak pihak dan pihak polis akan mengetuai siasatan dijangka 72 jam.
"Yang penting sesiapa yang mempunyai maklumat diharapkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi. Sekiranya mempunyai maklumat, boleh sampaikan kepada pihak berkuasa supaya siasatan dapat melakukan siasatan," katanya.
Sebelum ini beliau menerusi hantaran Facebook memaklumkan kebakaran berkenaan berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 3.45 petang tadi.
Sementara itu seramai 305 mangsa insiden kebakaran itu berjaya diselamatkan setakat pukul 5.00 petang tadi.
Mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan beberapa pusat perubatan.