fb fb fb fb fb

Laporan audit ketirisan subsidi minyak masak siap Januari depan – Armizan

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali

PUTRAJAYA, 28 November- Kerajaan telah melaksanakan program audit subsidi minyak masak ekoran unjuran peningkatan penggunaan empat kali ganda bahan makanan itu berjumlah RM1.9 bilion pada penghujung tahun depan.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata laporan tersebut akan siap Januari depan bagi menangani masalah ketirisan subsidi minyak masak di seluruh negara.

“Bermula Oktober lepas di peringkat KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) kita telah laksanakan program audit secara menyeluruh untuk melihat pelaksanaan subsidi minyak masak ini seluruh peringkat dan seluruh negeri dan seluruh daerah.

“Terdapat dapatan tertentu dan saya tidak nafikan wujudnya ketirisan subsidi minyak masak ini. Dengan adanya audit ini kita dapat membuat keperluan berapakah keperluan sebenar dan bagaimana kaedah untuk memperkemaskan subsidi perlu namun perlu ada mekanisma untuk mengurangkan ketirisan dan penyelewengan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Simposium Kos Sara Hidup (SCOL 2023) di sini,hari ini.

Ujar Armizan unjuran tahun ini hanya pada paras RM500 juta namun ia dijangka naik disebabkan peningkatan harga minyak dunia.

“Pada asal RM500 juta yang hanya cukup untuk dua bulan Januari dan Februari tapi kita unjurkan penghujung tahun ini kita perlukan RM1.9 bilion hanya untuk subsidi minyak masak.

“Itu sebabnya kita perlu lihat semula dan terdapat gesaan Ahli Parlimen untuk kita melihat perkara ini dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani secara konsisten nyatakan tentang perkara itu,” katanya.

Armizan berkata, hasil dapatan daripada audit berkenaan akan diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang baharu.

ZEHRA BINTI ZAMBRI